Saturday, October 23, 2004

Air mata...
from rahmat83.blogspot.com

Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan .Nyaring
berkumandang menyaring segala suara yang menyapa telinga ibu.Lonjak
hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah
sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air
mata.

Air mata adakalanya penyubur hati,penawar duka. Adakalanya buih
kekecewaan yang menyempit perasaan , menyesak kehidupan. Air mata
seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun
setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya
gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di
dunia.

Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa.Barangsiapa gembira di
dunia akan berdukacita di akhirat.Barangsiapa yang banyak dukacitanya
di dunia akan gembira di akhirat.

Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat
menangis kerana dunia yang datang.

Alangkah sempitnya kuburku,keluh seorang Abid.
Alangkah sedikitnya hartaku,kesal si hartawan.

Dari mata yang mengitai setiap kemewahan yang mulus penuh
rakus,mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung
Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirkan air mata insaf
mengharap kemenangan.

"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."
(al- Hasr: 20)

Tangis adalah basahan hidup,justeru:
Hidup dimulakan dengan tangis, dicelahi oleh tangis dan diakhiri
dengan tangis.Manusia sentiasa dalam dua tangisan.Sama ada yang
membawa untung atau merugikan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

"Ada dua titisan yang ALLAH cintai,pertama titisan darah para Syuhada
dan titisan air mata yang jatuh kerana takutkan ALLAH."

Nabi Muhammad bersabda lagi :
"Tangisan seorang pendosa lebih ALLAH cintai daripada tasbih para
wali."

Oleh itu berhati-hatilah dalam tangisan,kerana ada tangisan yang akan
mengakibatkan diri menangis lebih lama dan ada tangisan yang membawa
bahagia untuk selama-lamanya. Seorang pendosa yang menangis kerana
dosa adalah lebih baik daripada Abid yang berangan-angan tentang
Syurga mana kelak ia akan bertakhta.

Nabi bersabda :
"Kejahatan yang diiringi oleh rasa sedih,lebih ALLAH sukai dari satu
kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."

Ketawa yang berlebihan tanda lalai dan kejahilan. Ketawa seorang
ulamak dunia hilang ilmu, hilang wibawanya. Ketawa seorang jahil,
semakin keras hati dan perasaannya.

Nabi Muhammad bersabda :
"Jika kamu tahu apa yang aku tahu nescaya kamu banyak menangis dan
sedikit ketawa."

Seorang Hukama pernah bersyair :
"Aku hairan dan pelik,melihat orang ketawa kerana perkara-perkara
yang akan menyusahkan,lebih banyak daripada perkara yang
menyenangkan."

Salafussoleh menangis walaupun banyak beramal,takut-takut tidak
diterima ibadatnya,kita ketawa walaupun sedar diri kosong daripada
amalan. Lupakah kita Nabi pernah bersabda :
"Siapa yang berbuat dosa dalam ketawa,akan dicampakkan ke neraka
dalam keadaan menangis."

Kita gembira jika apa yang kita idamkan tercapai. Kita menangis kalau
yang kita cita-citakan terabai. Nikmat disambut ria, kedukaan
menjemput duka. Namun,Allah s.a.w. telah berfirman :
" Boleh jadi kamu membenci sesuatu,padahal ia amat baik bagimu,dan
boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu,pada hal ianya amat buruk
bagimu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui."
(AL BAQARAH : 216)

Bukankah Nabi pernah bersabda:
"Neraka dipagari nikmat,syurga dipagari bala."

Menangislah wahai diri,agar senyumanmu banyak di kemudian hari.
Kerana engkau belum tahu, nasibmu dipuak kanan atau dipuak kiri.Di
sana,lembaran sejarahmu dibuka satu persatu, menyemarakkan rasa malu
berabad-abad lamanya bergantung kepada syafaat Rasulullah yang
dikasihi Tuhan. Kenangilah, sungai-sungai yang mengalir itu banjiran
air mata Nabi Adam yang menangis bertaubat, maka suburlah dan
sejahteralah bumi kerana terangkatnya taubat. Menangislah seperti
Saidina Umar yang selalu memukul dirinya dengan berkata :

"Kalau semua masuk ke dalam syurga kecuali seorang, aku takut akulah
orang itu."

Menangislah sebagaimana Ummu Sulaim apabila ditanya :
"Kenapa engkau menangis?"
"Aku tidak mempunyai anak lagi untuk dihantar berperang,"jawabnya.

Menangislah sebagaimana Ghazwan yang tidak sengaja terpandang wanita
rupawan. Diharamkan matanya dari memandang ke langit seumur
hidup,lalu berkata :
"Sesungguhnya engkau mencari kesusahan dengan pandangan itu."

Ibnu Masud r.a.berkata :
"Seorang yang mengerti al Quran dikenali waktu malam ketika orang
lain tidur,dan waktu siangnya ketika orang lain tidak berpuasa,
sedihnya ketika orang lain sedang gembira dan tangisnya di waktu
orang lain tertawa. Diamnya di waktu orang lain berbicara, khusuknya
di waktu orang lain berbangga, seharusnya orang yang mengerti al
Quran itu tenang,lunak dan tidak boleh menjadi seorang yang keras,
kejam, lalai, bersuara keras dan marah.

Tanyailah orang-orang soleh mengapa dia tidak berhibur :
"Bagaimana hendak bergembira sedangkan mati itu di belakang
kami,kubur di hadapan kami,kiamat itu janjian kami,neraka itu memburu
kami dan perhentian kami ialah ALLAH."

Menangislah di sini,sebelum menangis di sana!!!.............

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home